Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Kepada semua murid tahun 6, 2009. Pihak sekolah mendoakan anda semua berjaya dalam meniti kehidupan seterusnya sebagai seorang insan yang bergelar pelajar. Di sekolah menengah nanti teruskan usaha anda untuk berjaya.
Kepada yang berjaya dalam UPSR tempohari, jangan sombong dengan kejayaan tersebut, kerana kejayaan UPSR itu bukan tiket yang pasti untuk anda terus berjaya. Bagi yang gagal pula, jangan merendah diri kerana ia bukan penghabisan bagi segala-galanya. Kejayaan yang hakiki adalah bagi mereka yang sentiasa berusaha dengan cara yang betul, konsisten atau istiqamah tanpa kenal rasa jemu dan malas, beriktikat menjadi anak yang baik kepada kedua-dua ibu bapa, hormat dan kenang jasa guru.
Wahai murid-murid yang dikasihi. Apa gunanya menjadi murid yang sentiasa mengejar kejayaan dalam pelajaran tapi sombong dan tidak tahu berakhlak mulia dengan ibu bapa, guru, rakan-rakan dan masyarakat. Begitu juga tak guna kita menjadi insan yang berakhlak mulia dengan ibu bapa, guru, rakan-rakan dan masyarakat namun tak ada ilmu untuk membantu ibu bapa, menjadi lebih berilmu dari guru yang pernah mengajar dulu, tak ada ilmu yang boleh dikongsi dengan rakan-rakan dan tak ada ilmu untuk membantu dan bergaul dengan masyarakat.Skop atau ruang lingkup ilmu ini luas,jadi pandai-pandailah anda semua menimbanya.
Akhir kata para guru di sekolah ini berharap anda menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Jadilah apa pun suatu hari nanti namun, kami para guru dan ibu bapa tidak mahu mendengar dan melihat anda menjadi sampah masyarakat, penipu, perasuah, perosak negara dan sebagainya.
Sekian.
Catatan: Ust. Razi (20 Dis 2009)